suria

MBI Lantik Wakil Media Sebagai Ahli Majlis

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melantik dua wakil pengamal media sebagai Ahli Majlis bagi memastikan maklumat yang disebar kepada orang ramai lebih cepat, tepat dan berkesan.

Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim berkata dengan adanya Ahli Majlis di kalangan pengamal media, ia akan mempercepatkan penyaluran maklumat terkini MBI kepada orang ramai.

"Saya merasakan sudah sampai masanya kita melantik dua orang Ahli Majlis terdiri daripada pengamal media bagi menyokong penyaluran pelbagai maklumat dalam soal pembangunan, undang-undang dan rancangan masa depan MBI," katanya sempena Majlis Taklimat Cukai Taksiran kepada Media di Bangunan MBI di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Roshidi berkata MBI berminat untuk mempraktikkan konsep Tanpa Sampah yang diperkenalkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sejak 2008 bagi mendidik masyarakat untuk mengekal dan menjaga kebersihan di kawasan persekitaran mereka.

Beliau berkata ia merupakan konsep yang baik dan memerlukan penyertaan semua pihak dan beliau yakin ia akan mendapat sokongan warga Ipoh.

"Rombongan MBI telah melawat Kampung Cenderamata 11 iaitu kampung pertama tanpa sampah di Kota Kinabalu dan konsep itu didapati begitu berkesan. Kanak-kanak di sana pun tahu di mana dan bagaimana cara untuk melupuskan sampah dengan betul," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain