suria

Lelaki Cedera Ditembak Dalam Rompakan Stesen Minyak Jalan Tengkera-Limbongan, Melaka

MELAKA: Seorang lelaki berusia 27 tahun cedera di bahagian perut terkena tembakan ketika merompak sebuah stesen minyak di Jalan Tengkera-Limbongan malam Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata dalam kejadian 9.15 malam itu, suspek masuk ke kiosk stesen minyak tersebut dan mengugut seorang pekerja wanita agar menyerahkan wang dalam mesin juruwang.

"Suspek yang tidak menyedari kehadiran anggota polis berpakaian preman dalam kiosk berkenaan, disergah agar menyerah diri, bagaimanapun, suspek mengacukan pisau kepada anggota polis itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, Sabtu.

Beliau berkata polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ketika suspek cuba melarikan diri dan mengenai bahagian kiri perutnya sebelum dia ditangkap kira-kira 200 meter dari stesen itu.

Katanya, suspek yang cedera dihantar ke Hospital Melaka manakala seorang rakannya yang menunggu di luar kiosk, melarikan diri dengan sebuah motosikal sebaik menyedari kejadian itu, dan polis sedang menjejakinya, yang dipercayai rakyat tempatan. Rompakan itu merupakan kejadian keempat melibatkan stesen minyak dan polis sedang menyiasat sama ada suspek merupakan orang sama yang merompak stesen minyak berkenaan serta sebuah lagi stesen minyak di Jalan Munshi Abdullah sebelum ini, katanya.

Dalam kes lain, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan wanita, 74, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga emas yang mayatnya ditemui dalam bonet sebuah kereta di Jalan Air Semubuk, Durian Tunggal, daerah Alor Gajah Selasa lepas.

Raja Shahrom berkata suspek ditangkap pada 11.30 pagi dan 12 tengah hari ini di sekitar Melaka dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis ingin menghubungi Lim Kok Yong, 51, dari Cheng, yang dipercayai kawan si mati dalam perniagaan, dan sesiapa yang mengenali suspek diminta menghubungi ASP Mohd Zulkifli Yusof di talian 016-6308222 atau balai Polis Alor Gajah 06-5564153.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Tan Lock, 77, dari Peringgit Jaya, ditemui pada 11.30 malam oleh anggota polis selepas memeriksa kereta berkenaan yang diletakkan di bahu jalan. - BERNAMA

Artikel Lain