suria

Kajian Semula Kilang "rare earth" Bantu Tangani Keraguan Umum

KUALA LUMPUR: Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata kajian semula panel bebas terhadap kilang "rare earth" di Gebeng akan membantu menangani kebimbangan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar berhubung projek itu.

"Lynas yakin kajian itu akan mengesahkan semula yang kilang itu selamat dan tidak membahayakan kepada komuniti atau pekerja Lynas," kata syarikat itu dalam satu kenyataan lewat Jumaat.

Terdahulu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sidang media di sini berkata, satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan kilang bahan maju Lynas (LAMP), yang kini sedang dibina di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Semasa menyambut baik pengumuman itu, Lynas berkata, mereka difahamkan bahawa kajian akan siap dalam masa sebulan dan dipercayai tidak akan memberi kesan dengan jangkaan tarikh siap projek itu.

Apabila siap kelak, LAMP akan merupakan kemudahan pemprosesan bahan itu bertaraf dunia yang menggabungkan teknologi terkini dan menetapkan penanda aras baru dalam keselamatan, prestasi alam sekitar dan nilai bersama dalam seluruh rangkaian bekalan untuk masa depan mampan.

"Lynas akan terus bekerja sama dengan pihak berkuasa Malaysia termasuk Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pembinaan projek terus memenuhi semua keperluan dan mematuhi standard antarabangsa," kata syarikat itu. - BERNAMA

Artikel Lain