suria

Jenayah Rasuah, Ketirisan Gugat Prestasi Ekonomi Negara: Najib

PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jenayah rasuah dan masalah ketirisan bukan sahaja akan menjejaskan pendapatan kerajaan tetapi juga akan turut memberi kesan kepada prestasi ekonomi negara secara keseluruhannya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan terpaksa melakukan tindakan drastik untuk membendung jenayah rasuah dan masalah ketirisan bagi memastikan ia tidak menjejaskan hasil dan pendapatan negara.

Beliau berharap rakyat memahami bahawa sebarang tindakan yang diambil kerajaan seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini berhubung tangkapan berkaitan rasuah adalah bertujuan untuk menangani ketirisan yang berlaku.

"Ia (tindakan itu) tidak ada lain tujuan melainkan untuk menambah hasil negara," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Pahang di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor menahan 60 anggota dan pegawai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia di seluruh negara untuk siasatan berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Najib berkata, semua pihak perlu sedar bahawa bukan soal kerajaan tidak mahu menambahkan projek pembangunan yang boleh memberi kerja tambahan kepada kontraktor tetapi kemahuan dan keinginan mestilah berpaksi kepada kemampuan kewangan negara.

"Ini berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi negara dan kebolehan kita mengutip hasil tambahan. Kalau kita tidak dapat kutip hasil tambahan kerana berlaku ketirisan yang berluasa, maka itu juga akan menjejaskan hasil dan pendapatan kerajaan.

"Misalnya, kalau banyak orang mengelat daripada membayar cukai yang menjadi punca kewangan kerajaan, kalau ada orang eksport dan import barang tetapi tipu harga dan melakukan apa yang disebutkan 'under declaration', maka ia merupakan kekurangan kewangan kepada kerajaan.

"Sehubungan itu, kita mesti fahami bahawa kalau kita hendak lebih banyak projek pembangunan, maka semua orang mesti memainkan peranan masing-masing, iaitu yang mengurus ekonomi negara kena mengurus dengan baik dan yang kena bayar cukai mesti ikut ketetapan yang patut ditunaikan mereka," katanya.

Najib berkata beliau akan menjadi orang yang paling gembira jika hasil negara dapat dipertingkatkan daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion atau RM70 bilion.

"Kalau ekonomi negara kita, pertumbuhannya pada kadar yang tinggi, maka kita dapat mencari sumber kewangan dan hasil yang boleh menjadi sumber yang boleh digunakan untuk kita mengagih dalam bentuk projek pembangunan tambahan yang akan merangsangkan lagi sektor pembinaan kita.

"Sebaliknya kalau ekonomi negara kita tidak berkembang dan hasil tidak bertambah, maka kerajaan akan menghadapi keadaan yang sukar untuk menambah peruntukan bagi projek pembangunan yang boleh menjadi sumber kepada kontraktor," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain