suria

Rasuah Pasir: Penolong Pegawai Tanah Dipenjara Tiga Bulan, Denda RM10,000

SHAH ALAM: Seorang Penolong Pegawai Tanah yang ditangkap dalam operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 selepas disabitkan bersalah bersetuju meminta suapan daripada pengusaha pasir.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mat Ghani Abdullah pada Jumaat, turut memerintahkan supaya tertuduh, Abdul Halim Khailani, 48, dipenjarakan selama tiga bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh yang merupakan kakitangan kerajaan gred NT27 di Pejabat Daerah dan Tanah, Hulu Langat, dekat sini, didakwa meminta wang tunai RM2,000 daripada Khairul Anuar Ahmad Bustaman, 34, pada pukul 11 pagi, 23 April 2009 di pejabatnya.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Khairul Anuar yang menjalankan kerja-kerja pengeluaran pasir tanpa permit di Lot 1519 Batu 19 1/2 dan Lot 3654 Batu 19 1/4, Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Pada prosiding sama, Mat Ghani melepas dan membebaskan Abdul Halim daripada pertuduhan bersetuju menerima wang tunai RM2000 daripada Khairul Anuar yang didakwa diberikan menerusi Mohd Azam Ab Jalil, 30, pada pukul 10 pagi, 24 April 2009. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kereta Kancil nombor pendaftaran WPN 5287 di Jalan Medan Bangi, Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Abdul Halim ditangkap pada 20 Januari 2010 dan dipertuduhkan di mahkamah untuk kali pertama pada 4 Februari 2010.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Siti Zakiah Che Mat manakala peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid mewakili tertuduh.

Artikel Lain