suria

Jangan Persoal Mandat Rakyat Sarawak - Pemuda PBB

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meminta semua pihak menghormati keputusan rakyat Sarawak yang memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) menerajui negeri itu, sekaligus yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ketuanya, Datuk Fadillah Yusof berkata kemenangan BN di 55 kerusi, termasuk 35 PBB, adalah bukti bahawa kesatuan dan perpaduan masih kukuh dalam parti yang diterajui Taib selaku Presiden serta Pengerusi BN Sarawak.

"Hari ini saya menyatakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan yang tidak melambangkan semangat BN, semangat BN adalah hormat-menghormati antara satu sama lain...rakyat Sarawak sendiri memberi mandat, kita harus hormati, siapalah mereka untuk mempersoalkan mandat yang diberikan oleh rakyat Sarawak," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar di ibu pejabat PBB di Jalan Bako malam tadi, Khamis.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan Taib sebelum ini sudah menjelaskan pendirian mereka berhubung proses peralihan kuasa di Sarawak, yang seharusnya dihormati bagi memastikan ia berjalan lancar.

Katanya, peralihan kuasa perlu dilakukan secara tersusun dan rapi agar rakyat Sarawak dapat dipimpin sebaik mungkin, sekaligus memperkuatkan mereka, bukan sebaliknya. - BERNAMA

Artikel Lain