suria

Imam Besar Masjidil Haram Gesa Umat Islam Kekalkan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais menggesa umat Islam agar berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah demi memastikan mereka kekal bersatu padu.

Beliau berkata, perpecahan di kalangan umat Islam akan berlaku sekiranya mereka tidak menjadikan kedua-dua perkara itu sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian.

"Anda semua harus berpegang pada hadis Rasulullah S.A.W. mengenai pentingnya berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, jika tidak inilah (perpecahan) jadinya kepada umat kita (Islam)," katanya dalam khutbah Jumaat yang diikuti oleh lebih 3,000 jemaah, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.

Khutbah beliau bertajuk "Perpaduan Islam dan Cabaran Semasa" diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia Datuk Mahamud Abdul.

Sheikh Abdul Rahman turut berpesan kepada umat Islam di negara ini supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Imam itu berkata, perpaduan juga boleh dicapai menerusi peningkatan ilmu pengetahuan serta memahami Al-Quran serta hadis Rasulullah S.A.W.

"Dengan itu, saya menggalakkan anda semua supaya meningkatkan penguasaan Bahasa Arab kerana kesatuan umat ini satu tiangnya iaitu menguasai Bahasa Arab itu sendiri," katanya.

Katanya, umat Islam harus mengakui mereka adalah umat pertengahan di dunia iaitu bersifat sederhana dalam kehidupan seharian.

"Oleh itu, janganlah kita menjadi pelampau dan jangan pula merendah diri sampai kita ditindas oleh bangsa lain," katanya.

Beliau menambah, umat Islam juga harus mempunyai keseimbangan dari segi ilmu dan amal kerana kedua-duanya saling melengkapi.

Sheikh Abdul Rahman yang sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia turut mengunjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya petang ini. - BERNAMA

Artikel Lain