suria

Dua Lelaki Ditahan Guna Perisian Komputer Tiruan

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Pulau Pinang menahan dua lelaki dipercayai pemilik dan pekerja sebuah kedai menjual komputer kerana menggunakan perisian komputer tiruan di Kompleks Bukit Jambul semalam.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang M. Guna Selan berkata kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan dalam operasi pada pukul 1.30 petang selepas menerima aduan daripada Microsoft Malaysia.

"Dalam serbuan itu KPDNKK turut merampas sebuah unit pemprosesan data komputer (CPU) dan sebuah komputer peribadi yang mempunyai perisian tiruan. Nilai rampasan berjumlah RM26,600," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit kini ditahan mengikut Akta Hak Cipta 1987 untuk siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara lima tahun atau denda antara RM2,000 hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain