suria

Suruhanjaya Sekuriti Dakwa Dua Bekas Pengarah Bestino Group

KUALA LUMPUR: Dua bekas pengarah syarikat yang terlibat dengan pasaran emas, Bestino Group Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tuduhan menerbitkan 400 juta saham tanpa prospektus berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC), seperti yang diwajibkan oleh undang-undang.

Chong Yuk Ming, 49, dan S Balachandran, 56, didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 3 November 2008 dan 16 Jun 2009 di syarikat tersebut yang beralamat di nombor 80-B, Jalan Sultan Yussuf, Ipoh, Perak.

Kedua-dua mereka juga menghadapi pertuduhan alternatif iaitu didakwa telah mengagihkan borang-borang permohonan bagi saham preferen boleh tebus tanpa disertakan dengan salinan prospektus yang berdaftar dengan SC yang didakwa dilakukan pada masa dan ditempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 232(1) dibaca bersama Seksyen 376(1) Akta Pasaran dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 232(7) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai-Pegawai Pendakwa dari SC, Susheel Kaur manakala peguam Datuk V Sithambaram mewakili kedua-dua tertuduh.

Sithambaram membantah jumlah jaminan RM1 juta yang ditawarkan oleh Susheel kerana kedua-dua tertuduh telah memberikan kerjasama kepada SC sepanjang siasatan dijalankan selama dua tahun.

"Untuk pengetahuan mahkamah, Chong juga telah didakwa di Mahkamah Ipoh pada Februari lalu dan sejak itu, asetnya yang berjumlah RM700,000 telah dibekukan.

"Mahkamah Ipoh telah membenarkan tertuduh dijamin pada jumlah RM500,000 dengan deposit RM300,000. Tertuduh tidak dapat mebayar jumlah tersebut dan ditahan di penjara selama seminggu sebelum wang jaminan dapat disediakan dengan bantuan keluarga dan rakan," katanya.

Sithambaram menambah, Balachandran merupakan seorang pensyarah jurusan kewangan di sebuah kolej swasta dan bersedia untuk menjelaskan jaminan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Jun depan.

Beliau juga memerintahkan supaya Balachandran menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, manakala dokumen perjalanan milik Chong telah diserahkan kepada Mahkamah Ipoh.

Artikel Berikut

Artikel Lain