suria

Selangor Agih Projek Syarikat Bumiputera Kepada Kontraktor Cina, India

PETALING JAYA: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Selangor (PKMM) mendakwa projek-projek kecil Kerajaan Negeri Selangor dibahagi-bahagikan antara kontraktor Cina dan India menggunakan nama syarikat kontraktor bumiputera.

Yang Dipertua PKMM Selangor, Datuk Marsum Paing berkata, syarat kerajaan menetapkan kesemua tender projek bernilai di bawah RM200,000 mestilah dianugerahkan kepada kontraktor kelas F yang kesemuanya Melayu atau bumiputera.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang menjadi ahli lembaga pemilihan dalam kerajaan negeri terdiri daripada pelbagai kaum bertindak mengagihkan projek yang dianugerahkan kepada syarikat bumiputera kepada kontraktor kaum lain.

"Kerana itulah, bagi projek kecil yang sepatutnya diserahkan kepada kontraktor Melayu dan kerja-kerja yang sepatutnya mereka selesaikan telah diberikan bulat-bulat kepada sama ada kontraktor Cina mahu pun India.

"Keadaan ini menyebabkan kontraktor Melayu tidak dapat apa-apa pun kerana kaedah 'ali baba' mereka ialah serahkan terus kepada kontraktor Cina atau India selepas mana-mana kontraktor Melayu peroleh projek.

"Kita tak nafikan wujudnya kontraktor 'ali baba' sebelum ini, tapi yang dulu, kontraktor Melayu masih dapat untung kerana mereka akan jadi rakan niaga, berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Beliau mengulas pendedahan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock pada Rabu bahawa seorang kontraktor, Lee Wye Wing didakwa memperoleh kebanyakan projek kecil bagi kawasan Dewan Undangan (DUN) Negeri Seri Kembangan dan Kampung Tunku yang sepatutnya diberi kepada kontraktor bumiputera dengan bantuan anak saudaranya, Lee Khee Heong.

Peguam yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah turut mendakwa saksi itu mempergunakan nama-nama syarikat kontraktor bumiputera bagi memperoleh projek tersebut sedangkan keuntungan diperoleh syarikatnya.

Sementara Teoh Beng Hock pula turut memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menentukan sebut harga bagi projek-projek yang diluluskan untuk disampaikan kepada ketuanya, ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Mengulas lanjut Marsum berkata, kerajaan negeri menetapkan syarat pelik bagi kontraktor kelas F di Selangor.

Katanya, mereka terpaksa berdaftar dengan kerajaan negeri dengan sokongan wakil rakyat Pakatan Rakyat bagi melayakkan mereka memperoleh sebarang projek.

Sedangkan amalan biasa, jelasnya, mereka tidak perlu berdaftar dengan kerajaan negeri kerana telah memperoleh lesen dan layak memohon sebarang tender yang kurang daripada RM200,000.

"Cara ini bercanggah, kerana sepatutnya tender dibuka tanpa mengira latar belakang politik," ujar beliau.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin mahu mereka yang mendakwa kerajaan negeri menjalankan kaedah 'ali baba' dalam menganugerahkan projek tampil mengemukakan bukti.

"Mereka yang membuat dakwaan itu, sila tampil beri bukti," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Artikel Berikut

Artikel Lain