suria

Program Sekolah Bendung Kes Buang Bayi Dilaksana Ogos

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan akan melaksanakan satu program baru melibatkan semua sekolah di negara ini bertujuan membendung gejala sosial di kalangan pelajar termasuk kes buang bayi.

Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jika semuanya berjalan lancar, program itu dijangka dilaksanakan pada Ogos ini.

"Pihak kementerian rasa terpanggil untuk lebih proaktif dalam menangani masalah gejala sosial di kalangan generasi muda dan berharap semua pihak terutamanya para pelajar, ibu bapa dan golongan remaja memberikan kerjasama.

"Kita rancang buat program ini, dan secara tidak langsung akan melibatkan reproduktif sains yang berkait rapat dengan usaha kita untuk membendung gejala sosial," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang SMK Perempuan Likas, dekat sini, Khamis.

Rosnah berkata pencegahan adalah lebih baik daripada merawat terutama dalam kes buang bayi.

"Di peringkat Kementerian, kita perkasakan program pencegahan...bukan sahaja menumpukan kepada penyakit berjangkit tetapi juga aspek sosial yang melibatkan kelahiran luar nikah, kerana dari segi kesihatan kita bimbang fenomena yang berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain