suria

Pengiktirafan Kepada Bahasa Mandarin - TPM

BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar negara, kerajaan turut memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada bahasa Mandarin.

Malah menurutnya di sekolah-sekolah di Malaysia, murid-murid bukan Cina juga digalakkan untuk mempelajari bahasa Mandarin.

Katanya Muhyiddin, beliau percaya dengan menguasai bahasa Mandarin, generasi muda pelbagai kaum di Malaysia akan dapat menghargai bahasa serta kebudayaan kaum Cina, yang merupakan antara aset penting dalam khazanah kepelbagaian budaya di Malaysia.

"Di sekolah-sekolah di Malaysia, bahasa Mandarin bukan diajar sebagai bahasa asing, tetapi sebagai bahasa ibunda kepada kaum Cina," katanya semasa melawat Beijing Foreign Studies University, Rabu.

Beliau berkata, Malaysia turut menghantar pelajar-pelajarnya untuk mengikuti kursus ijazah dalam bidang pengajian Mandarin di BFSU dalam usaha memantapkan pengajaran Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

"Setakat ini terdapat 119 orang pelajar Malaysia tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia dan MARA yang mengikuti program ini di BFSU sejak tahun 2007," katanya.

Muhyiddin yang sedang dalam rangka lawatan seminggu ke China berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak di sini untuk memperluas dan meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan.

Beliau yakin jalinan persefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dan China dapat diperkukuhkan lagi, selaras dengan perkembangan pengajian Bahasa Melayu yang semakin luas di China.

Menurutnya, selain BFSU, ada lima buah universiti lagi di China menawarkan program pengajian jurusan Bahasa Melayu, iaitu Universiti Komunikasi China, Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Guandong, Universiti Bangsa-bangsa Guangxi dan Universiti Bangsa-bangsa Yunnan.

Muhyiddin berkata, BFSU menjadi institusi pelaksana yang penting dalam menjayakan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan China, termasuk dengan pengwujudan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu pada 2007 dan Pusat Pengajian Melayu China pada 2005.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan Pengerusi Pusat Pengajian Melayu Cina BFSU.

Menurut Muhyiddin, ini membuktikan bahawa BFSU dan Kerajaan Malaysia mempunyai hubungan kerjasama yang amat rapat dalam usaha untuk mengembangkan Bahasa Melayu di China.

Sementara itu dalam sesi interaksi bersama pelajar China BFSU, Muhyiddin ditanya mengenai peluang bagi warga China untuk turut serta dalam pembangunan di Malaysia.

Soalan itu diajukan oleh salah seorang pelajar China yang dikenali sebagai Abdullah, yang pernah mengikuti kursus enam bulan di Universiti Malaya, yang kini berhasrat untuk bekerja di Malaysia.

Menurut Muhyiddin, warga China yang berminat boleh mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan di Malaysia dari Kedutaan China di Kuala Lumpur, termasuk maklumat mengenai syarikat-syarikat milik rakyat China, mahupun syarikat antarabangsa.

Artikel Berikut

Artikel Lain