suria

Kenyataan DAP Hanya Untuk Bakar Sentimen Kaum Cina Sarawak, Kata Lee Kim Shin

MIRI: Kenyataan DAP mengenai isu wakil masyarakat Cina dalam Kabinet Sarawak hanya untuk mencurah minyak ke dalam api, kata Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata parti pembangkang itu hanya mahu tersu mengelirukan masyarakat Cina di Sarawak mengenai isu yang sepatutnya diselesaikan selepas keadaan kembali tenang.

"Ini bukan masanya untuk menambahkan kekeliruan, yang hanya akan membawa kepada keputusan tidak rasional. Perkara ini patut diputuskan selepas semua orang telah bertenang," katanya kepada pemberita selepas sesi berjumpa rakyat, di Pejabat SUPP Miri, di sini, Khamis.

Beliau mengulas laporan media semalam, yang memetik Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebagai berkata pelantikan menteri daripada SUPP tidak membawa sebarang perbezaan bagi masyarakat Cina di Sarawak.

Ini kerana kata Chong, kegagalan SUPP menyelesaikan isu membabitkan kaum itu sejak 30 tahun lepas merupakan sebab penduduk di bandar tidak menyokng mereka pada pilihan raya negeri yang berakhir Sabtu lepas.

Dalam pilihan raya itu, SUPP bertanding di 19 kawasan dewan undangan negeri (DUN) namun hanya menang di enam kawasan yang mana empat daripadanya diwakili calon bumiputera.

Prestasi buruk parti itu yang menyaksikan Presidennya Tan Sri Dr George Chan tewas di kerusi DUN Piasau membangkitkan persoalan mengenai keupayaan mereka mewakili kepentingan kaum Cina dalam kabinet negeri.

Lee yang merupakan seorang daripada dua calon Cina parti itu yang terselamat, hanya menang tipis dengan majoriti 58 undi mengatasi calon Parti Keadilan Rakyat Dr Michael Teo Yu Keng bagi mengekalkan kerusi DUN Senadin yang diwakilinya sejak 1996.

Seorang lagi wakil Cina SUPP ialah Timbalan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Wong Soon Koh yang mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan dengan majoriti 1,808 undi mengatasi calon DAP Alice Lau Kiong Yieng.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri telahpun menyenaraikan Wong sebagai salah seorang menteri dalam barisan kabinetnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain