suria

Kantin Sekolah Dikehendaki Patuhi Garis Panduan Makanan Sihat Yang Dikemaskini

PETALING JAYA: Garis panduan makanan sihat di sekolah yang dikemaskini, dengan memberi tumpuan kepada beberapa perkara baru termasuk kekerapan sesuatu makanan itu dijual, dijangka diedarkan bulan depan untuk dilaksanakan di kantin, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pematuhan garis panduan terbaru itu dapat memastikan amalan pemakanan sihat di kalangan murid dan menangani masalah kesihatan mereka seperti masalah berlebihan berat badan.

"Kalau dulu kita hanya katakan (makanan dalam) senarai ini boleh dijual di sekolah tapi (dalam garis panduan yang dikemaskini), kita kata kena ada kekerapan (yang perlu diikuti), contoh nasi lemak, berapa kali boleh dijual seminggu...mee goreng, berapa kali boleh dijual di sekolah.

"Itu semua kita akan beri garis panduan yang teliti. Bukan garis panduan secara orang kata am...bahawa terpulang kepada kantin sekolah membuatnya. Oleh itu banyak kantin sekolah tidak menjual makanan yang betul," katanya.

Liow bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program Kembara Riang Ria Pemakanan di Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Khamis.

Beliau berkata garis panduan itu wajib dipatuhi oleh pengendali kantin dan kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kontrak mereka ditamatkan Kementerian Pelajaran.

Liow berkata senarai makanan dalam garis panduan itu meliputi kira-kira 70 makanan utama, telah siap dan akan dibentang dalam mesyuarat bersama dengan Kementerian Pelajaran sedikit masa lagi.

Senarai itu akan diumumkan kepada semua kantin sekolah selepas dipersetujui Kementerian Pelajaran, katanya.

"Sekarang memang ada senarai dan garis panduan. (Kita) mengemaskini untuk memastikan garis panduan adalah mengikuti masa dan keadaan sekarang. Kini banyak makanan proses yang dulu tiada, sekarang ada vending machine, yang dulu tak popular. Sekarang (kita mahu) makanan dan minuman yang berkhasiat sahaja dijual di sekolah," katanya.

Berdasarkan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan kira-kira 86.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman di kantin sekolah, maka adalah perlu kantin sekolah menyediakan makanan yang sihat, kata Liow.

"Kalau kantin sekolah tidak menyediakan makanan yang sihat, sebilangan besar pelajar akan terjejas," katanya.

Kajian UKM itu juga menunjukkan bahawa kegemaran pelajar adalah nasi lemak, mee goreng dan nasi ayam manakala makanan segera paling digemari adalah burger (34.4 peratus), ayam goreng (26.5 peratus) dan pizza, yang menurut Liow tidak boleh dimakan selalu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain