suria

Imam Besar Mekah Puji Cara Malaysia Urus Jemaah Haji

PETALING JAYA: Kecekapan Malaysia menguruskan jemaah haji ketika menunaikan ibadah itu di tanah suci, mendapat pujian Imam Besar Masjidil Haram iaitu Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais.

Beliau menyifatkan Malaysia sebagai negara contoh dalam menguruskan hal ehwal ibadah Haji dan berkata ia perlu dijadikan panduan oleh masyarakat serta negara Islam lain di seluruh dunia.

"Ia termasuk aspek memberi kefahaman hukum-hukum kepada jemaah terlibat, bagaimana menguruskan kebajikan mereka, dan bagaimana membantu meningkatkan ekonomi jemaah sebelum dan selepas menunaikan Haji," katanya kepada para pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk "Masa Depan Ketamadunan Islam pada abad ke-21" di Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa di sini, Rabu. Butiran yang disampaikan Sheikh Dr Abdul Rahman itu diterjemah oleh Yang Dipertua Persatuan Bahasa Arab Malaysia Datuk Mahamud Abdul kepada pemberita.

Sheikh Abdul Rahman turut menyampaikan salam Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud serta rakyatnya kepada pemimpin dan penduduk Malaysia, dengan harapan hubungan sedia ada dapat ditingkatkan demi kepentingan kedua-dua negara.

Beliau juga berharap Malaysia dan Arab Saudi dapat bekerjasama dalam menyampaikan mesej Islam ke seluruh dunia dengan penuh kesederhanaan agar lebih ramai membuka hati untuk menerima ajaran Islam.

Sheikh Abdul Rahman berkata bagi tujuan tersebut, umat Islam perlu menunjukkan contoh terbaik dalam amalan kehidupan seharian.

"Apabila kita menyampaikan Islam dan orang tak mahu terima, kita kena hormati. Tapi ada dua cara dalam berdakwah, sama ada melalui syarahan seperti yang kita lakukan hari ini, atau menunjukkan contoh supaya imej umat Islam yang baik boleh ditonjolkan dengan lebih banyak kepada bukan Islam," katanya.

Beliau turut menggalakkan umat Islam menguasai bahasa Arab kerana ia bahasa Al-Quran dan tidak menganggap ia hanya untuk orang Arab.

Sheikh Abdul Rahman sedang dalam rangka lawatan lima hari ke Malaysia, dan dijangka menyampaikan khutbah sebelum mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, sebelum pulang ke Arab Saudi.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain