suria

Enggan Layan Rayuan Rebat Cukai Tanah, Bukti Kedah Tidak Bantu Sumbang Ilmu - Khaled Nordin

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan PAS Kedah menolak rayuan Universiti Utara Malaysia (UUM) agar rebat cukai tanahnya disambung menggambarkan sikap sebenar kerajaan negeri itu yang tidak membantu dalam menyumbangkan ilmu kepada rakyat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata UUM adalah sebuah institusi pengajian tinggi awam yang memberi manfaat kepada semua rakyat dan kerajaan Kedah seharusnya membantu universiti itu beroperasi dengan cekap.

"Ini merupakan satu ujian kepada kerajaan Kedah (tentang) bagaimana sumbangan dia nak beri ilmu untuk bantu rakyat.

"...kalau kerajaan Kedah tak nak (menyambung pemberian rebat cukai tanah), kita hendak buat macam mana, UUM kena bayar dengan kerajaan Kedah, tetapi kita tahulah sikap dia (kerajaan PAS Kedah)," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Mohamed Khaled yang ditemui selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 24 petugas Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diminta mengulas mengenai isu rebat cukai tanah UUM. Universiti itu sudah membuat rayuan sebanyak lima kali dan terbaru semalam, apabila mereka menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak memohon agar rebat cukai tanah RM100,000 setahun yang berakhir pada Disember 2008 disambung demi kepentingan kedua-dua pihak.

Akibat daripada keengganan kerajaan Kedah melayan kesemua rayuan tersebut, UUM kini terpaksa membayar kadar penuh iaitu RM1.74 juta setahun. UUM sebelum ini menikmati rebat selama dua tahun bermula Januari 2006 yang diberi kerajaan negeri Barisan Nasional ketika itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata kerajaan pusat telah memberi peruntukan sebanyak RM300 juta setahun kepada UUM untuk membiayai pelbagai perkara dan berharap agar kerajaan Kedah membantu meringankan beban universiti itu.

"Soalnya sekarang sama ada kerajaan Kedah hendak bagi (rebat cukai tanah) atau tidak. Kalau tidak bagi UUM kena bayarlah, kita bagi peruntukan RM300 juta lebih setahun untuk biaya macam-macam tetapi kita harap sekurang-kurangnya kerajaan Kedah ada bantu, kita tidak minta banyak," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain