suria

BN Sabah Diminta Dekati Akar Umbi Jika Mahu Menang PRU Akan Datang

KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah harus berjumpa dengan masyarakat di akar umbi sekerap mungkin jika mahu menang pada pilihan raya umum datang.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai berkata hanya menerusi cara itu BN dapat meyakinkan rakyat, bahawa mereka mahu terus berkhidmat kepada rakyat dengan melaksanakan polisi yang memberi manfaat kepada semua.

"Kita tidak mahu melihat masyarakat dipolarisasikan oleh pembangkang seperti yang berlaku di Sarawak.

"Walaupun BN menerima sokongan keseluruhan, ada trend membimbangkan yang menunjukkan komuniti Cina di sana beralih arah dan memberi undi kepada pembangkang," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, Khamis.

Sebagai sebuah negara yang didiami pelbagai kaum seperti Malaysia, beliau berkata adalah penting bagi pemimpin BN untuk sentiasa mendengar dan menangani sebarang rungutan yang diluahkan oleh rakyat.

Yee yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah bagaimanapun yakin Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman akan membawa BN memenangi satu lagi pilihan raya umum dengan cemerlang.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Musa, kerajaan negeri membuktikan kejayaannya melaksanakan pelbagai program pembangunan selain menunaikan janji menjaga kepentingan semua kaum di negeri itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain