suria

Bernama TV Akan Disusun Semula - Rais

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen Bernama TV akan disusun semula dalam tempoh tiga bulan bagi memenuhi kehendak asasnya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya, stesen televisyen bercorak berita itu yang dikendalikan secara usahasama Bernama dengan pihak swasta kini mewakili kepentingan awam dan kerajaan.

"Saya telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri tindakan di sisi undang-undang telah diambil dan hak kepentingan Bernama TV itu dikembalikan oleh kerana tindakan-tindakan yang seharusnya dilakukan oleh pihak yang berusahasama itu belum lagi direalisasikan.

"Kementerian sekarang sedang menyusun dengan Bernama TV tentang langkah-langkah yang boleh diambil supaya siarannya tidak terencat dan khidmat-khidmat media asasnya berjalan seperti yang dituntut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Rabu.

Rais menjelaskan, pengambilalihan televisyen itu dibuat mengikut perjanjian dengan syarikat swasta yang mengendalikannya yang telah menyatakan persetujuan untuk menyerahkan stesen televisyen itu kepada pihak kementerian.

"Kritikan terhadap Bernama TV sudah mula meningkat, sebab itu kementerian sedang mengambil langkah mengikut perjanjian yang ada. Perjanjian itu membuktikan bahawa semua pihak yang terlibat dengan usahasama ini terhenti sudah, sebab kepentingan mereka sudah berlarutan.

"Kita hanya menunggu tindakan susulan pentadbiran sahaja, (kerana) dari segi undang-undangnya sudah pun sampai ke tahap yang maksimum dan tidak boleh ditangguh.

"Sebagai contoh kalau tarikhnya (pengambilalihan) enam bulan yang lalu, tarikh itu sudah berlalu dan pihak-pihak yang berkepentingan harus menerima hakikat ini," katanya.

Bernama memiliki 33 peratus kepentingan di dalam stesen televisyen itu manakala sebuah syarikat swasta miliki 67 peratus kepentingan lagi dalam stesen yang mula beroperasi pada awal 2008 sebagai televisyen bercorak berita yang pertama di negara ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain