suria

Teoh Beng Hock Adalah Perantara Projek Untuk ADUN Seri Kembangan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock pada Rabu diberitahu bahawa mendiang adalah perantara dan terlibat dalam menentukan sebut harga bagi projek yang diluluskan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Ahli perniagaan Lee Wye Wing, 52, berkata Teoh mengetahui setiap jumlah tuntutan yang dipohon daripadanya dan Teoh akan menyampaikan maklumat (jumlah tuntutan) kepada Ean yang merupakan ketuanya (Yeoh).

Lee berkata, sebelum jumlah tuntutan itu dipersetujui, beliau akan menghantar e-mel kepada Teoh dan pindaan akan dibuat sekiranya Ean tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan.

"Sebarang pindaan yang dibuat oleh Ean akan dimaklumkan kepada saya melalui Teoh dan saya kemudiannya akan meminda harga yang telah ditetapkan oleh Ean," katanya ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan oleh suruhanjaya itu.

Lee berkata, salinan sebut harga itu yang telah ditandatangani oleh pemilik syarikat telah dihantar kepada Ean untuk simpanan.

Beliau menafikan dakwaan Muhammed Shafee bahawa syarikat milik isterinya iaitu WSK Services, dibiayai oleh ahli DAP dan menafikan beliau menggunakan syarikat Bumiputera untuk memperoleh projek bagi kontraktor Kelas F.

Syarikat bumiputera itu adalah MKMN Enterprise, MA Bina Melur Enterprise, Fizami Construction dan Aris Enterprise.

Lee bersetuju dengan Muhammed Shafee bahawa syarikat-syarikat berkenaan mendapat wang pendahuluan daripada DAP sebelum mendapat bayaran balik daripada Pejabat Tanah dan Daerah.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Muhammed Shafee bahawa isterinya dan seorang anak saudaranya mempunyai hubungan dengan pemimpin tertinggi DAP.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Shah Alam, DSP Kamaruddin Ismail memberitahu suruhanjaya itu bahawa terdapat lebih 20 kertas siasatan yang melibatkan pegawai SPRM yang didakwa menggunakan kekerasaan ketika menjalankan soal siasat terhadap saksi.

"Laporan itu dibuat oleh orang awam dan kertas siasatan yang pertama diterima pada 25 Mac 2005 manakala laporan terakhir adalah pada 18 Julai 2009," katanya ketika menjawab soalan pengawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Kamaruddin juga berkata, daripada 20 lebih kes berkenaan, hanya 13 kes yang belum mendapat keputusan sebaliknya kes yang lain telah ditarik balik oleh pengadu.

"Terdapat juga beberapa kes yang tidak dibuat NFA iaitu "No Further Action" disebabkan saksi ataupun pengadu tidak hadir untuk membuat pengecaman bagi kawad cam dan kami menganggap mereka tidak berminat," katanya.

Kamaruddin berkata, pegawai penyiasat SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus, adalah antara yang didakwa terlibat dalam 13 kes berkenaan.

Beliau turut disoal pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, sama ada pihak polis mendapat kerjasama daripada pegawai SPRM untuk menjalankan siasatan.

Kamaruddin berkata, pada mulanya agak sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada pegawai SPRM namun selepas kematian Teoh mereka memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata, pihak polis telah menerima surat jawapan daripada Timbalan Pengarah SPRM Selangor ketika itu, Hishamuddin Hashim yang memaklumkan pihak SPRM perlu mendapatkan kebenaran daripada peguam kanan persekutuan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

Teoh, 30, pembantu politik kepada Ean yang merupakan anggota exco kerajaan Selangor, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'. Prosiding disambung esok. -BERNAMA

Artikel Lain