suria

Siasatan Teoh Dilanjutkan 25 Jun

KUALA LUMPUR: Tarikh akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor dilanjutkan hingga 25 Jun ini.

Siasatan tersebut sebelum ini dijadualkan berakhir pada 25 April ini.

Pengerusi Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen memberitahu, Suruhanjaya tersebut telah menerima surat daripada Perdana Menteri yang menyatakan persetujuan Yang Di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tarikh akhir itu.

Foong berkata, pihaknya serta para peguam memerlukan masa untuk meneliti nota-nota yang banyak dicatatkan.

"Nota-nota tersebut juga memerlukan masa untuk disediakan," tambahnya.

Walaupun tempoh siasatan dilanjutkan, Foong berkata, siasatan masih berjalan dalam jadual ketat dan menggesa semua pihak supaya tidak menyalahgunakan masa tambaha yang diberikan.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan negeri Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya siasatan itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Januari lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Artikel Lain