suria

Polis Temui Cap Jari Penceroboh Kubur

KAJANG: Polis telah menemui kesan cap jari milik beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kes curi dan ceroboh kubur di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Chua semalam.

Kesan cap jari itu ditemui pada beberapa objek sekitar lokasi kejadian, dan difahamkan petunjuk baru itu dapat membantu siasatan polis dalam mengesan suspek yang dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.

"Kesan cap jari itu sudah dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengenal pasti identiti suspek," kata satu sumber kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan penemuan beberapa set kesan cap jari, polis percaya jenayah itu dilakukan oleh lebih daripada seorang, namun siasatan masih lagi dilakukan.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Beberapa media melaporkan bahawa semalam beberapa barangan berharga di dalam keranda milik seorang warga emas hilang setelah kuburnya digali oleh penjenayah di kawasan di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Chua di sini.

Polis dimaklumkan oleh anak simati bahawa kubur bapanya, Liew Ah Chow, 64, yang meninggal dunia pada 8 April lepas, digali orang, dan antara yang dilarikan dari dari dalam keranda itu ialah duit syiling, wang kertas, serta telefon bimbit, yang jumlah keseluruhan dianggar antara RM200 dan RM300. - BERNAMA

Artikel Lain