suria

Peluru Sebabkan Kematian Pengawal Istana Kelantan Tidak Sepadan dengan Pistol Tengku Fakhry

TUMPAT: Mahkamah Koroner pada Rabu diberitahu bahawa peluru yang menyebabkan kematian pengawal Istana Kelantan Ramli Mohamad disahkan tidak sepadan dengan senjata api milik bekas Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kelantan, ASP Kamarulnizam Alias berkata, oleh itu, semua senjata api dan peluru milik baginda dikembalikan selepas siasatan selesai.

"Peluru yang dianalisis Bahagian Balistik Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Cheras mengesahkan ia berlaras .32 manakala senjata api dan peluru yang diambil dari Istana Mahkota milik (bekas) Tengku Temenggong pada 5 Mei 2010 adalah tidak sepadan.

"Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (kini Timbalan Ketua Polis Kelantan) Datuk Mazlan Lazim telah mengarahkan agar semua senjata api dan peluru itu diserahkan kembali selepas itu," katanya ketika memberi keterangan pada inkues bagi menyiasat kematian Ramli dalam kejadian di Palekbang, Tumpat pada awal pagi, 1 Mei tahun lepas.

Inkues itu didengar oleh Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak Wan Hussein.

Pada prosiding 30 Mac lalu, juruanalisis polis Inspektor Amir Abdullah mengesahkan peluru yang diperiksanya berkaitan kes pembunuhan itu adalah sepadan dengan pistol berlaras .32.

Kamarulnizam berkata, polis telah mengambil selaras "shot gun" jenis Benelli, 10 butir peluru jenis Winchester, tali silang, selaras pistol jenis "Auto Glock", 41 butir peluru Winchester, dua kelopak peluru dan lesen memiliki senjata api milik Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Artikel Lain