suria

K'jaan Perlu Beri Insentif Pada NGO Yang Perangi Rasuah - Ezam

KUALA LUMPUR: Senator Mohamad Ezam Mohd Noor pada Rabu mencadangkan supaya kerajaan memberi beberapa insentif kepada kumpulan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu atau generasi muda yang mahu tampil membantu menangani rasuah di negara ini.

Beliau berkata, insentif itu dapat menggalakkan golongan berkenaan memerangi rasuah dan ia tidak hanya akan didominasi oleh ahli-ahli politik yang sering menggunakan isu itu untuk kepentingan tertentu.

"Sebagai contoh di Indonesia ada Indonesian Corruption Watch dan di India ada Corruption Monitor yang lebih berpengaruh daripada mana-mana parti politik dengan menjuarai persoalan rasuah.

"Jadi saya kira kerajaan juga perlu ambil inisiatif menyemarakkan kelompok non-partisan ini untuk berjuang melawan rasuah tanpa ada rasa kepentingan sempit atau kepentingan kelompok parti, yang hanya fokus mencari perasuah tanpa mengira siapa dan dari mana parti mereka. Ini harus dimulakan dengan inisiatif dan insentif dari kerajaan," katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Negara.

Beliau turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara mempelbagaikan kaedah bagi menghukum perasuah termasuk menggunakan akta selain daripada Akta Pencegahan Rasuah.

"Ini biasa dilakukan oleh banyak negara khususnya negara-negara yang mencapai pencapaian yang tinggi dalam persoalan berkaitan rasuah," katanya.

Persidangan dewan disambung esok. -BERNAMA

Artikel Lain