suria

Kanak-Kanak Lemas Ketika Mandi Kolam Bersama Rakan

JOHOR BAHARU: Seorang kanak-kanak mati lemas ketika mandi di sebuah kolam takungan air di sebuah kawasan pembinaan di Kampung Bakar Batu bersama dua rakannya di sini petang Selasa.

Mohd Zaidi Sariffudin, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bakar Batu ditemui di dasar kolam tersebut pada pukul 9.22 malam oleh sepasukan anggota unit selam skuba Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

Bercakap kepada pemberita, rakan mangsa Mohd Ihsan Zulkifli, 13, berkata dia bersama mangsa pergi ke kolam takungan air berkenaan untuk mandi kira-kira pukul 3 petang.

Ketika mandi, seorang lagi sahabat mereka Mohd. Khairil Ashraf Hasni, 11, datang untuk mandi bersama.

Selepas sejam mandi di situ Mohd Ihsan mengajak rakan-rakannya pulang namun apabila berpaling dia hanya nampak buih sahaja di permukaan air kolam dan Mohd Zaidi tidak kelihatan.

Dia dan Mohd Khairil cuba menolong Mohd Zaidi namun keadaan fizikal mereka yang kecil menyukarkan mereka untuk pergi ke tengah kolam.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, C. Kesavan berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.05 malam dan sampai di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian dengan lapan anggota termasuk anggota selam skuba.

Mayat mangsa kemudiaan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Flat Seri Stulang di sini semalam. - BERNAMA

Artikel Lain