suria

Kadar Dedahan Sinaran Fukushima Semakin Menurun - Mosti

KUALA LUMPUR: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan bahawa kadar dedahan dos sinaran di loji nuklear Fukushima Daiichi menurun sejak 1 April lepas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kadar dedahan yang diukur pada 18 April lepas membabitkan 47 daerah, Ibraki mencatat bacaan maksimum iaitu 0.13 mikro Sievert per jam manakala Fukushima 1.9 mikro Sievert per jam.

"Bacaan di 45 daerah yang lain adalah pada kadar normal iaitu di antara 0.05 hingga 0.1 mikro Sievert sejam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada 16 April lepas, sekatan ke atas pengedaran susu mentah tidak diproses dari 25 kawasan di Fukushima dihentikan, dan pada 17 April, sekatan berhubung pengedaran kakina, pasli dan bayam dari Ibraki turut ditarik balik.

Ongkili menjelaskan, pusat tindak balas kecemasan persekitaran di bawah Pertubuhan Meteorologi Sedunia meramalkan pergerakan sebarang bahan cemar radioaktif iodin yang terlepas dari loji nuklear Fukushima untuk tempoh 24 jam dari tarikh 19 April, adalah ke arah tenggara dan seterusnya ke selatan dan kawasan tengah kepulauan Jepun sehingga 22 April ini.

Katanya, penyebaran dan pemendapan bahan cemar itu menunjukkan ia meliputi bahagian utara dan tengah Jepun, barat laut Lautan Pasifik dan kawasan utara Lautan Jepun.

Dalam pada itu, IAEA pada 19 April melaporkan bahawa unit satu, dua dan tiga loji nuklear Fukushima diperiksa sebuah robot yang dikendali tanpa membabitkan manusia.

"Penggunaan robot ini membantu mengurangkan dedahan yang diterima pekerja. Serpihan batu dan bangunan telah dipindahkan menggunakan mesin kawalan jauh dan sehingga 18 April lepas, sebanyak 10 kontena serpihan telah dikeluarkan," katanya.

Ongkili berkata, sebanyak 60,000 tan air tercemar dalam unit satu, dua dan tiga perlu dipindahkan ke kondenser dan Kemudahan Rawatan Sisa Radioaktif, sebagai tambahan, tangki simpanan juga disediakan serta diletak bersebelahan kemudahan rawatan itu.

Beliau turut menjelaskan, pemilik loji nuklear Fukushima Daiichi, Tokyo Electric Power Company (Tepco) telah mengemukakan pelan pemindahan air tercemar paras tinggi yang berlaku di tingkat bawah tanah bangunan turbin di unit dua kepada Nuclear and Industrial Safety Agency (Nisa) bagi mengurangkan risiko air yang tercemar.

Sementara itu, pemantauan oleh Mosti mendapati tidak ada sebarang pencemaran berlaku di seluruh negara.

Artikel Lain