suria

Dua Lelaki Cuba Seludup Minyak Diesel Ditahan

ALOR SETAR: Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah menahan dua lelaki berusia lingkungan 30 tahun dan merampas 6,700 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Sungai Petani petang Rabu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa pejabat berkenaan, Suhaimi Mat Sari berkata penahanan dan rampasan itu dibuat kira-kira 4 petang Selasa di sebuah stesen minyak berjenama di Sungai Lalang, Sungai Petani.

"Hasil pemeriksaan mendapati minyak diesel bersubsidi berkenaan berada dalam tujuh tangki tambahan atas lori dinaiki suspek.

"Pasukan kita telah menahan dan menyita lori bagi siasatan lanjut, nilai rampasan keseluruhan barangan tersebut bernilai RM85,000," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya siasatan awal mendapati modus operasi suspek adalah mengumpul minyak dari satu stesen ke satu stesen dan terus dihantar ke kawasan berhampiran sempadan untuk tujuan penjualan kepada warga asing.

Suhaimi berkata kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau tiga tahun penjara atau keduanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain