suria

Saksi Lihat Benjy Ambil Dadah Dari Celah Buku

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy didakwa telah mengambil bungkusan yang berisi dadah sebelum menyerahkannya kepada seorang pegawai polis.

Asisten Superintendan Mohd Ashril Md Johar, 43, berkata, dadah tersebut diambil daripada celah buku yang terdapat di rak di sebalik pintu dan Benjy menggunakan tangan kanan untuk berbuat demikian.

Beliau menambah, bungkusan berisi dadah itu kemudiannya dimasukkan ke dalam poket seluar yang dipakai oleh saksi pendakwaan pertama perbicaraan kes memiliki dadah yang dihadapi Benjy.

Benjy, 33, didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.14 gram di rumah beralamat C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Kepong Baru di sini pada pukul 3 petang, 11 Mac 2010.

Anak lelaki tunggal seniwati Azean Irdawaty itu juga didakwa memiliki 0.24 gram dadah sama pada pukul 4 petang, hari yang sama di rumah nombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Off Jalan Segambut, di sini.

Pelakon Kerana Cintaku Saerah tersebut didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat dan Noormawarni Abdul Halim.

Sementara itu menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy, Mohd Ashril mengakui bahawa beliau tidak menggunakan sarung tangan semasa mengambil bungkusan dadah tersebut.

Saksi yang bertugas di Bahagian Operasi, Risikan dan Tahanan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis di sini juga mengakui bahawa dadah tersebut boleh diletakkan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai laluan ke rumah tersebut.

Keterangan sebelum ini menyatakan pembantu peribadi kepada Benjy, Afifi Hamid, 25, dan dua lagi rakan mereka mempunyai kunci rumah yang disewa di Vista Mutiara.

Saksi juga bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa bungkusan dadah tersebut kelihatan seperti telah digunakan.

Amer Hamzah: Kamu telah membuat laporan polis pada 11 Mac 2010 berhubung dengan ujian saringan air kencing dan kamu katakan Afifi disyaki positif syabu?

Mohd Ashril: Setuju.

Amer Hamzah: Berdasarkan laporan kamu, dadah tersebut mungkin ditinggalkan oleh Afifi?

Mohd Ashril: Mungkin.

Pada keterangan lain, Mohd Ashril mengatakan bahawa keadaan rumah di Vista Mutiara agak berselerak dan Amer Hamzah berkata, ia dalam keadaan seperti orang yang mahu berpindah kerana perjanjian sewa rumah akan tamat pada 13 Mac 2010.

Perbicaraan Selasa dimulakan dengan Majistret Haffiza Sauni memutuskan bahawa jawapan Benjy yang menjawab ‘ada’ pada soalan sekiranya terdapat barangan salah disimpan di salah satu rumahnya kepada Mohd Ashril diberikan secara sukarela.

Haffiza membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak polis telah membacakan kata-kata amaran sekurang-kurangnya sekali kepada Benjy.

“Kata-kata amaran telah diterangkan kepada tertuduh dan keterangan yang ada menunjukkan bahawa dia telah menganggukkan kepala sebagai faham.

“Jika tertuduh tidak memahami kata-kata amaran tersebut, dia boleh bertanya kepada polis,” tambahnya.

Benjy yang telah dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor pada 17 Mac lalu hadir di mahkamah bersama ayah dan adik perempuannya.

Perbicaraan bersambung pada Rabu.

Artikel Lain