suria

Dewan Rakyat Sementara Siap September

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pengubahsuaian Dewan Serbaguna, Kompleks Parlimen untuk dijadikan Dewan Rakyat sementara dijangka siap pada September ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, bangunan sementara itu perlu disiapkan untuk persidangan bajet pada Oktober nanti.

Katanya, projek tersebut memakan kos sebanyak RM28 juta, termasuk RM4 juta untuk rancangan kontingensi.

"Saya mengingatkan kontraktor bahawa jadual kerja ini begitu ketat kerana pengubahsuaian bangunan ini perlu disiapkan pada 5 September, iaitu lebih kurang 5 bulan dari sekarang, untuk persidangan bajet pada Oktober nanti.

"Saya telah berjumpa dengan kontraktor dan mereka memberi jaminan bahawa kalau mereka terpaksa kerja sampai empat pagi, maka kerja sampai empat pagilah. Yang pentingnya bangunan ini perlu disiapkan untuk persidangan bajet pada Oktober nanti.

"Dan insya -Allah, saya lihat kerja-kerja berjalan dengan lancar. Saya akan memantaunya dari masa ke masa," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Dewan Serbaguna, Kompleks Parlimen Malaysia yang menjalani kerja-kerja pembinaan.

Mengulas lanjut, Shaziman berkata, bangunan Parlimen sedia ada yang dibina pada 1962 dan mula digunakan pada 1963 memerlukan pembaikpulihan semula terutama strukturnya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, Kabinet bersetuju mengubahsuai Dewan Serbaguna itu untuk dijadikan tempat persidangan sementara bagi memastikannya terus berjalan lancar dan keselamatan ahli-ahli Parlimen, petugas-petugas di bangunan Parlimen terjaga.

Bagaimanapun katanya, Dewan Negara akan dikekalkan di bangunan sedia ada.

Katanya, kementerian turut bercadang menyediakan bangunan kerajaan dan tempat letak kereta sebanyak 1,000 unit.

Untuk menjimatkan kos pengubahsuaian Dewan Serbaguna itu, Shaziman berkata, kementerian mencadangkan supaya alat siar raya, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan telekomunikasi sedia ada di bangunan Parlimen dipindahkan ke situ selepas sidang pada Jun dan Julai nanti.

Shaziman menambah, walaupun projek tersebut tidak berskala besar, tetapi ia agak rumit kerana ia melibatkan bangunan warisan.

Jelasnya, kementerian perlu merujuk kepada jabatan yang menjaga bangunan warisan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sebelum memulakan kerja-kerja pengubahsuaian.

Sementara itu, Shaziman memberitahu, pihaknya akan membentangkan satu memorandum ke Kabinet berhubung dengan cadangan dan kos membaik pulih bangunan Parlimen sedia ada dalam jangka masa terdekat.

"Cuma saya arahkan di kementerian supaya berbincang dulu. Ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan jawatankuasa khas yang menguruskan Parlimen ini dan dipengerusikan oleh Speaker.

"Ini bagi mendengar pandangan mereka dari segi pembinaan bangunan baru tersebut yang diambil kira untuk dimaklumkan kepada kabinet nanti," katanya.

Artikel Lain