suria

Perbicaraan Benjy Tangguh Esok

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, menangguhkan perbicaraan kes pelakon Benjy yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis syabu kepada Selasa.

Perbicaraan kes tersebut dijadualkan pada Isnin.

Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy atau nama sebenarnya khaireyll Benjamin Ibrahim, 32, memohon agar perbicaraan ditangguhkan kerana pihaknya akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

Amer Hamzah memberi akujanji bahawa pemohonan tersebut akan dihantar pada tengah hari Isnin, manakala jawapan kepada representasi itu dijangkakan akan diketahui selewat-lewatnya pada pagi Selasa.

Permohonan tersebut mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Noormawarni Abdul Halim kerana pihaknya telah bersedia untuk menjalankan perbicaraan, termasuk empat orang saksi telah bersedia untuk memberi keterangan.

Majistret Hafizza Sauni membenarkan permohonan tersebut dengan peringatan bahawa perbicaran akan tetap dijalankan pada Selasa meskipun tanpa jawapan daripada Jabatan Peguam Negara.

Perbicaraan dijadualkan berjalan sehingga Jumaat.

Pada prosiding itu, Benjy yang dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor pada 17 Mac lalu hadir ke mahkamah dengan ditemani ibunya, dramatis popular, Azean Irdawaty.

Penahan Benjy di pusat tersebut dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan dan Kawalan Khas) 1985.

Dia kini sedang dibicarakan atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di rumah beralamat A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Persimpangan Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac 2010.

Selain itu, dia juga menghadapi pertuduhan memiliki dadah sama seberat 0.14 gram di rumah nombor C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru, di sini pada pukul 3 petang, hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, Benjy didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

YDP Sabah Kini Bergelar 'Tun'

Artikel Berikut

Artikel Lain