suria

Memoir Tun Ahmad Sarji 'Given In Trust' Dilancar

KUALA LUMPUR: Memoir Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang berjudul "Given in Trust" dilancarkan pada Ahad.

Memoir setebal 922 muka surat itu dilancarkan oleh isteri beliau Toh Puan Sagiyah Salikin dan diterbitkan oleh MPH Group Publishing.

"Given in Trust" adalah berdasarkan kisah peribadi Ahmad Sarji meliputi kehidupan beliau di zaman kanak-kanak, ketika bergelar pelajar dan berkhidmat dalam sektor awam sebelum berkecimpung dalam dunia korporat, selain aktiviti badan bukan kerajaan yang disertainya dalam tempoh 72 tahun, iaitu dari 1930-an hingga 2010.

Ahmad Sarji mengambil masa hampir 12 tahun bagi menyiapkan memoir itu berikutan terpaksa mengagihkan masa dengan tugasan lain yang menuntut perhatian beliau.

Buku itu memaparkan pelbagai aspek kerjaya cemerlang Ahmad Sarji bermula dari zaman kanak-kanak dan persekolahannya Tapah, Perak dan bagaimana beliau menyertai Perkhidmatan Pentadbiran Melayu pada 1961 hingga ke hari ini.

Dalam tempoh kurang dari tiga tahun, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Rembau, Negeri Sembilan, dan dari situ, kerjayanya perkhidmatan awamnya meningkat dengan pantas yang menyaksikan Ahmad Sarji memegang pelbagai jawatan di peringkat kerajaan negeri, Persekutuan dan Kabinet, sebelum tiba di kemuncak dengan jawatan tertinggi sebagai Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996.

Kemudian, pada usia kebanyakan orang memilih untuk bersara, Ahmad Sarji memulakan lembaran baru dalam hidupnya dengan menyertai sektor korporat selaku Pengerusi PNB, selain diberi kepercayaan menerajui beberapa pertubuhan lain iaitu Presiden Pertubuhan Komanwel bagi Pengurusan dan Pentadbiran Awam (Capam), Pengerusi Pengasas Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Presiden Persekutuan Lawn Bowl Malaysia dan pengerusi Golf Profesional Malaysia.

Pencapaian Ahmad Sarji juga membolehkan beliau memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan seperti Tokoh Maal Hijrah 1999 dan Tokoh Melayu Terbilang.

Beliau dianugerah gelaran Tun pada 2008.

Memoir berkenaan boleh didapati di semua kedai buku pada harga RM79. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sabah Kini Bergelar 'Tun'

Artikel Berikut

Artikel Lain