suria

Halang Kelahiran Bayi: Mahkamah Kekal Hukuman Penjara 4 Tahun

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Isnin, mengekalkan hukuman penjara empat tahun ke atas seorang lelaki kerana menghalang seorang bayi daripada dilahirkan dengan menikam perut teman wanitanya yang mengandung lapan bulan, enam tahun lepas.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Azhar Ma'ah sebulat suara menolak rayuan lelaki itu dan mengekalkan hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 10 September 2009 dan memerintahkan hukuman itu bermula dari hari ini.

Mereka membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili lelaki itu dan Timbalan Pendakwaraya Fatnin Yusof bagi pihak pendakwaan.

Semasa kesalahan itu dilakukan pada tahun 2005, lelaki itu didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak kerana berusia 17 tahun, dan kini dia berumur 23 tahun, baru sahaja tamat pengajiannya di sebuah universiti tempatan.

Pada 1 November 2006, Mahkamah Kanak-Kanak Telok Datok, Banting, telah memerintahkan lelaki itu yang ketika itu berumur 17 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun, atau sehingga dia berumur 21 tahun selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan satu perbuatan dengan niat menghalang bayi daripada dilahirkan dengan menikam perut ibu bayi itu yang berumur 16 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kampung, di Tanjung Sepat, Banting, pada 11 Sept 2005 antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang.

Semasa dalam proses rayuan, pihak peguam telah menarik balik rayuannya dan telah bersetuju supaya Mahkamah Tinggi membuat semakan ke atas keputusan Mahkamah Kanak-Kanak dan mahkamah itu telah menggantikan perintah itu kepada empat tahun penjara, tetapi lelaki itu dibenarkan menangguhkan hukuman itu sehigga rayuannya selesai di Mahkamah Rayuan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian lelaki itu telah bertengkar berkenaan dengan anak yang dikandung teman wanitanya selepas mereka melakukan hubungan seks.

Teman wanitanya itu merasa sakit dicucuk benda tajam selepas menyedari perutnya ditikam apabila melihat sebilah pisau dicucuk di perutnya dan akibat tikaman itu wanita itu mengalami kecederaan teruk di bahagian perut dan mengalami pendarahan yang banyak.

Hasil bedah siasat ke atas bayi itu mengesahkan punca kematian kandungan itu adalah disebabkan luka tajam pada uri dan tali pusat dan bayi itu disahkan meninggal semasa dalam kandungan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

YDP Sabah Kini Bergelar 'Tun'

Artikel Berikut

Artikel Lain