suria

Tiga Terbunuh Dalam Kemalangan Di Lebuhraya LDP

KUALA LUMPUR: Tiga terbunuh dalam satu kemalangan yang membabitkan sebuah kereta Toyota Vios, sebuah lori dan sebuah motosikal di Kilometer 2.82 Lebuh raya Damansara-Puchong arah Putrajaya awal pagi Ahad.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Polis Kontinjen Selangor Supritendan Zulkifli Jonit ketika dihubungi berkata kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu bermula apabila pemandu kereta Toyota dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke lorong kiri lalu merempuh bahagian belakang sebuah motosikal yang melalui jalan yang sama.

"Kereta itu kemudian turut merempuh sebuah lori rosak yang berada di laluan kiri jalan dan kejadian terbabit telah menyebabkan pemandu serta dua penumpang kereta mati di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan," katanya.

Mereka yang maut terdiri daripada pemandu kereta Toyota, Sak Jia Kit dan dua penumpang iaitu Tan Jun De dan Johson Sia Boon yang masing-masing berumur 20 tahun.

Kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Seorang lagi penumpang kereta dan penunggang motosikal turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital yang sama untuk menerima rawatan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kejadian berasingan, seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur, cedera di bahu akibat terjatuh ekoran dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri daripada "Ops Trafik Motosikal" di ibu negara awal pagi ini.

Ketua Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner (ACP) Rusli Mohd Noor berkata anggotanya dilanggar ketika sedang membuat pemeriksaan kenderaan itu di Jalan Raja Laut pada kejadian pukul 2 pagi tadi.

"Penunggang motosikal itu bagaimanapun dapat ditahan oleh beberapa anggota trafik yang turut berada di tempat kejadian. Namun, anggota saya tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata operasi yang bermula kira-kira pukul 11.30 malam dan berakhir empat jam kemudian, turut melibatkan agensi lain termasuk pegawai dan anggota dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Sepanjang operasi itu sebanyak 557 kenderaan telah diperiksa dan polis trafik telah mengeluarkan sebanyak 335 saman atas pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh dan pemandu tidak mempunyai lesen memandu.

Sebanyak 149 daripada jumlah kenderaan yang diperiksa telah ditahan manakala empat lelaki yang berumur lingkungan 20 dan 30 tahun turut ditahan kerana positif dalam saringan ujian air kencing. - BERNAMA

Artikel Lain