suria

SNAP Disaran Tutup Kedai

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyarankan supaya Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) "tutup kedai" dan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam memperjuangkan nasib penduduk di luar bandar.

Presiden PRS Datuk Seri Dr James Masing membuat saranan itu ekoran kegagalan SNAP memenangi sebarang kerusi selepas bertanding di 26 kawasan pada pilihan raya Sarawak, Sabtu.

Presiden SNAP Edwin Dundang turut tewas dalam pertandingan empat penjuru membabitkan calon BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Bebas di Marudi dengan hanya memungut 281 undi berbanding pemenang Sylvester Entrie dari BN (4,578 undi), Gerang Dagom daripada PKR (1,376 undi) dan calon Bebas Michael Ding Tuah (122 undi).

Masing, 62, berkata PRS akan meneliti kekalahan parti itu di Pelagus kepada calon Bebas George ak Lagong.

"Kita akan mengenal pasti faktor kekalahan di Pelagus kerana ia mungkin melibatkan politik wang, yang kita belum dapat sahkannya lagi," katanya.

PRS, parti komponen BN Sarawak, menang lapan daripada sembilan kerusi yang ditandinginya. Masing menang di Baleh mengalahkan calon PKR, Bendindang ak Manjah dengan majoriti 3,898 undi.

Mengenai kekalahan SUPP, Masing berkata ia merupakan satu kerugian kepada masyarakat Cina di negeri ini. - BERNAMA

Artikel Lain