suria

Seorang Pekerja Pembetungan Maut, Seorang Lagi Hilang

GEORGE TOWN: Seorang pekerja kontraktor pembersihan pembetungan mati dan rakannya masih hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang saluran pembetungan di hadapan kawasan perumahan Marina Bay, Bagan Jermal di sini, Ahad.

Mayat Rashidi Rosli, 20, ditemui anggota bomba dan penyelamat pada pukul 1.02 petang dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala usaha mencari dan menyelamat rakannya, Zakaria Ahmad, 32, masih diteruskan.

Kedua-dua mereka yang merupakan pekerja kontraktor yang dilantik oleh Syarikat Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd itu dikatakan memasuki lubang saluran pembetungan sedalam 15 meter pada pukul 11 pagi untuk melakukan kerja pembersihan.

Seorang rakan sekerja mereka, Mohd Sufian Mohd Yusoff, 19, berkata beliau dan dua rakannya itu memulakan kerja seawal pukul 9 pagi dan kehilangan kedua-dua rakannya itu disedari apabila mereka tidak menyahut selepas beberapa kali dipanggil.

"Saya terus memaklumkan tentang kehilangan kedua-dua rakan saya itu kepada majikan," katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Razam Taja Rahim berkata operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan 31 anggota termasuk Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) dan Unit Skuba Bomba.

"Kami sedang menyiasat punca kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu isteri Zakaria, Nas Fatiha Azman, 26, berkata suaminya yang sepatutnya tidak bekerja hari ini menerima panggilan daripada rakannya untuk bekerja lebih masa pagi ini.

"Pada kira-kira pukul 1 tengah hari saya ada menelefon suami sebanyak dua kali tetapi tidak mendapat jawapan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Nas Fatiha berkata beliau terus bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu jirannya mengenai kejadian itu pada pukul 3 petang.

Zakaria yang baru bekerja selama tiga bulan itu mempunyai dua anak lelaki masing-masing berumur enam dan lapan tahun. - BERNAMA

Artikel Lain