suria

Kumpulan Jual Telefon Bimbit Tiruan Tumpas, Sembilan Lelaki Ditahan

KUALA LUMPUR: Satu kumpulan menjual telefon bimbit tiruan tumpas berikutan penahanan sembilan lelaki dan rampasan 73 telefon dan dua buah kenderaan yang kesemuanya bernilai RM111,000 dalam satu operasi di sini Ahad.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Othman Nawang berkata kesemua mereka berumur antara 19 hingga 68 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Gombak ketika sedang asyik menawarkan telefon tiruan kepada orang ramai.

"Kejayaan operasi itu hasil risikan dan maklumat orang ramai sejak tiga minggu lepas. Ketika dihampiri anggota kami, mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap kerana kesalahan menjual barangan tiruan," katanya di lokasi kejadian di sini, Ahad.

Dalam pemeriksaan awal, pihaknya menemui 73 telefon bimbit tiruan jenis Nokia dan i-phone4 di dalam poket mereka dan juga dalam dua kenderaan. Katanya operasi dilakukan berikutan aduan orang ramai yang berurusan di stesen minyak itu bahawa mereka diganggu dengan kumpulan tersebut yang berani menjual telefon bimbit tiruan.

"Sebuah telefon bimbit dijual pada harga antara RM500 hingga RM1,000 dimana ianya jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

"Ada pembeli yang sedar telefon itu tiruan selepas mendapati wujudnya aplikasi yang tidak boleh digunakan di dalam telefon itu," katanya.

Othman berkata operasi bermula kira-kira pukul 11.40 pagi dan berakhir kira-kira pukul 2 petang.

Kesemua mereka kini ditahan reman untuk satu tempoh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika disabit kesalahan pemilik premis itu boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain