suria

Pusat Hiburan Diserbu 22 Kali Tetap Beroperasi

GEORGE TOWN: Walaupun diserbu pihak berkuasa 22 kali tahun lepas kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral, sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney di sini diserbu sekali lagi malam tadi kerana kesalahan yang sama.

Hasil serbuan itu, sepasukan polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut berjaya menahan 12 wanita warga asing yang didapati bekerja tanpa dokumen yang sah.

Ketua Operasi dari Cawangan D7 Bukit Aman ASP Shahrul Nizam Jaafar berkata 11 wanita warga China dan seorang rakyat Vietnam itu ditahan ketika leka melayan pelanggan.

"Serbuan itu dibuat hasil intipan selama sebulan berikutan maklumat orang ramai mengenai pusat hiburan yang menawarkan perkhidmatan GRO (pelayan pelanggan) rakyat asing," katanya kepada pemberita, disini, Sabtu.

Kesemua wanita terbabit yang berusia antara 17 dan 30 tahun juga didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral, katanya.

Shahrul Nizam berkata siasatan mendapati seramai 20 GRO warga asing bekerja di pusat hiburan itu, namun lapan daripada mereka berjaya meloloskan diri menerusi laluan rahsia ketika serbuan dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam satu serbuan oleh D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di pusat hiburan itu pada Disember lepas, seramai 23 GRO warga China, seorang warga Vietnam dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis ditahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain