suria

PRN Sarawak: PAS Tewas Di Semua Kerusi

KUCHING: PAS sekali lagi gagal menempatkan wakil mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak apabila gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya negeri ke-10 pada Sabtu.

PAS bertanding di lima kerusi iaitu di kawasan DUN Tanjong Datu, Muara Tuang, Sebuyau, Beting Maro dan Sadong Jaya.

Daripada lima kerusi berkenaan, PAS mempertaruhkan dua calon wanita yang kedua-duanya berhadapan dengan calon 'heavy weight' daripada Barisan Nasional (BN).

Di DUN Tanjong Datu, PAS menerusi calonnya Nani Sahari tewas ditangan Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dengan majoriti 3,216 undi.

Adenan yang juga penyandang kerusi berkenaanmendapat 4,218 undi, Nani mendapat 1,002 undi manakala seorang lagi calon Bebas, Gilbert Asson Kulong mendapat 215 undi.

Seorang lagi calon PAS, Noraini Hamzah, turut tewas di tangan BN di DUN Muara Tuang ditangan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud.

Noraini mendapat 3,196 undi manakala Mohamad Ali mendapat 11,039 undi.

Turut tewas ialah Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid dalam persaingan tiga penjuru di DUN Sebuyau.

Calon BN, Julaihi Narawi mendapat 4,045 undi sementara Adam mendapat 1,769 undi manakala seorang calon Bebas, Ali Semsu hanya mendapat 62 undi.

Sementara itu di DUN Beting Maro, calon BN, Razali Gapor mendapat 3,069 undi manakala wakil PAS, Abang Kerdee Abang Masagus mendapat 2,678 undi.

Turut kecundang wakil PAS di DUN Sadong Jaya ialah Abang Eddy Allyanny yang mendapat 3,949 undi sementara calon BN Aidel Lariwoo mendapat 1,096 undi.

Sementara seorang lagi calon Bebas di DUN berkenaan iaitu Mahayudin Wahab hanya mendapat 402 undi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain