suria

Pengundian Lancar Di Kuching, Sibu Dan Miri

KUCHING: Proses pengundian bagi pilihan raya negeri Sarawak di Kuching, Sibu dan Miri berjalan lancar tanpa sebarang insiden, kata polis di tiga bahagian itu.

Di bahagian Sibu dan Miri, keadaan cuaca cerah mendorong pengundi termasuk yang menggunakan kerusi roda keluar awal untuk mengundi bagi mengelakkan hujan yang diramalkan pada tengah hari.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat pukul 12 tengah hari, kira-kira 800 daripada 1,748 pusat mengundi telah ditutup secara berperingkat.

Menurutnya setakat 9 pagi kira-kira 15 peratus pemilih telah keluar mengundi bagi 14 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Di Miri, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan mengundi di Sekolah Menengah St Columba pada kira-kira 8.15 pagi.

Dr Chan, penyandang kerusi itu sejak enam penggal lepas ditentang calon DAP, Ling Sie Kiong, 28.

Ling berkata beliau tidak mengundi di Piasau kerana didaftarkan di kawasan Lambir.

Sementara itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Piasau, Monica Lenya memberitahu Bernama peratusan turun mengundi di kawasan DUN itu sehingga pukul 10 pagi adalah 18.92 peratus daripada sejumlah 16,600 pengundi di kawasan itu.

Di Sibu, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan Ikom, yang juga Menteri Hal Ehwal Sosial dan Urbanisasi dan penyandang kerusi DUN Pakan, mengundi di Sekolah Kebangsaan Nanga, Wak, dekat rumah panjangnya di Pakan.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah dan penyandang kerusi DUN Baleh, mengundi di rumah panjangnya Rumah Majau di Mujong, Kapit, di hulu Sungai Rajang.

Pengerusi DAP Wong Ho Leng, yang mempertahankan kerusi DUN Bukit Assek mengundi si Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Guong Ann pada kira-kira 9 pagi dengan ditemani isteri Irene Mary Chang dan empat anak mereka.

Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Datuk Seri Wong Soon Koh dan isterinya Datin Sri Leong, mengundi di SJK(C)Chung Hua,di sini. Beliau ialah penyandang kerusi Bawang Assan.

Di Kuching, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata polis akan memastikan proses pengundian berjalan lancar dan tindakan akan diambil terhadap pihak yang cuba menganggu tugas SPR.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata tiada kejadian serius berlaku sepanjang kempen yang berakhir tengah malam Jumaat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain