suria

'Pemberi Maklumat' RPK Digantung Tugas

PETALING JAYA: Pegawai Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) yang dikatakan memberi maklumat kepada Pengasas dan Pengarang Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung kaitan Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu telah digantung daripada tugas.

Beliau kini bertugas di Markas Tentera Darat (MTD).

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, penyiasatan akan dilakukan ekoran pendedahan Raja Petra bahawa maklumat berhubung kes tersebut telah didedahkan kepadanya oleh bekas pegawai kanan Cawangan Khas ATM, Kolonel Azmi Zainal Abidin.

"Maklumat yang dikaitkan oleh Kol Azmi kepada Raja Petra adalah palsu dan tidak pernah wujud dalam arkib ATM," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azizan membalas dakwaan Raja Petra bahawa beliau telah menandatangani akaun bersumpah pada Jun 2008, mengaitkan Rosmah dalam kes pembunuhan itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Azmi.

Katanya, pegawai berkenaan membuat pilihan peribadi apabila terbabit dengan seorang pemimpin pembangkang dan perkara itu tidak ada kaitan dengan pasukan tentera.

Azizan berkata, Azmi bukan lagi orang kedua dalam Cawangan Khas ATM pada 14 Januari 2008 selepas ditukarkan ke MTD, kira-kira enam bulan sebelum dikatakan membekalkan maklumat dipercayai palsu kepada Raja Petra.

"Juga, Kol Azmi bertindak atas kapasiti peribadi (apabila membekalkan maklumat kepada Raja Petra).

"Ia tidak ada kaitan dengan ATM," katanya.

Dalam temu bual bersama TV3 pada Rabu, Raja Petra berkata beliau meragui akuan bersumpahnya yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Rosmah dalam kes pembunuhan itu.

Beliau menambah bahawa tuduhan itu dibuat atas dasar arahan dipercayai daripada Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain