suria

Kejayaan BN Sarawak Bukti Kepercayaan Rakyat - Najib

KUCHING: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyifatkan kejayaan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dan seterusnya mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga pada pilihan raya Sarawak ke-10 sebagai bukti kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Perdana Menteri berkata, kejayaan yang diperolehi BN pada pilhan raya Sarawak jelas membuktikan bahawa rakyat sentiasa memberi sokongan berterusan kepada parti itu.

"Kejayaan ini jelas membuktikan bahawa rakyat masih menaruh kepercayaan kepada BN.

"Apa yang dizahirkan pada keputusan ini ialah rakyat tetap mengekalkan sokongan berterusan kepada kita," katanya pada sidang video yang disiarkan secara langsung oleh RTM di sini, Sabtu malam.

Sidang video berkenaan dibuat antara Najib yang berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang berada di kediamannya di Demak Jaya.

Turut sama bersama Abdul Taib ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan tidak rasmi pilihan raya Sarawak ialah BN memperoleh 55 kerusi, DAP (12), Parti Keadilan Rakyat (3) manakala Bebas mendapat satu kerusi.

Selain itu Najib yang juga Pengerusi BN berkata, satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan dibentuk bagi meneliti setiap janji yang dibuat BN sepanjang kempen pilihan raya negeri.

"Kita akan meneliti setiap janji yang diutarakan kerana ia selaras dengan semangat rakyat mesti didahulukan," katanya sambil mengucapkan tahniah kepada jentera pilihan raya BN yang diketuai Abdul Taib.

Sementara itu, Abdul Taib berkata, kejayaan ini membuktikan kesungguhan hubungan baik antara kerajaan Pusat dan negeri untuk membangun Sarawak.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah bersusah payah membantu kempen pilihan raya Sarawak.

"Sokongan Perdana Menteri benar-benar menggambarkan kerajaan BN mendahulukan rakyat.

"Saya juga bersyukur kerana BN berjaya pada pilihan raya ini walaupun menghadapi cabaran yang agak berlainan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain