suria

Hasrat Warga Emas Baik Pulih Rumah Musnah, Wang Simpanan RM55,000 Disamun

KUANTAN: Hasrat sepasang warga emas untuk membaik pulih rumah mereka musnah selepas wang simpanan berjumlah RM55,000 disamun dua lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi, di sini, Jumaat.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Ramlah Ab Rahman, 56, dan suaminya Wan Ismail Wan Jaafar, 60, serta menantu mereka Sharifah Nazatul Shima Syed Mohd Sidek, 32, dalam perjalan pulang ke rumah selepas mengeluarkan wang tersebut dari sebuah bank.

Ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat, Sharifah Nazatul Shima berkata ketika kereta mereka berhenti di lampu isyarat itu, mereka dihampiri sebuah motosikal yang dinaiki dua orang.

Pemboncengnya kemudian turun daripada motosikal itu dan bertindak memecahkan cermin tempat duduk penumpang hadapan serta meragut beg berisi duit yang diletak berhampiran kaki ibu mertua, katanya.

Katanya beliau dan ibu bapa mertua cuba menghalang, namun lelaki itu berjaya meloloskan diri bersama beg tangan tersebut sebelum melarikan diri menaiki motosikal rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jasmani Yusuf yang mengesahkan kejadian tersebut, berkata pihaknya telah mengeluarkan fotofit salah seorang daripada suspek berkenaan berdasarkan keterangan yang dibuat mangsa.

"Kita kini sedang giat memburu suspek yang kita percaya berusia lingkungan 20-an dengan salah seorang daripada mereka kurus, tinggi serta berkulit agak cerah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain