suria

Edaran Tan Chong Akan Periksa Meter Bahan Api Lebih 40,000 Model Nissan

KUALA LUMPUR: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd memulakan kempen servis bagi menyelesaikan isu berhubung meter bahan api yang dihadapi oleh beberapa pemilik kenderaan Nissan Grand Livina, Nissan Latio dan Latio Sport.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, syarikat itu berkata telah menerima beberapa kes di mana meter bahan api mungkin tidak menunjukkan kedudukan bacaan rendah yang tepat bagi paras bahan api.

"Setelah disiasat, didapati kejadian sedemikian mungkin disebabkan oleh pemindahan elektrokimia kepada kad resistor dalam tolok bahan api yang terjejas oleh gabungan persekitaran dan variasi bahan api," jelas kenyataan itu lagi.

Kempen servis itu adalah bagi 32,100 unit Nissan Grand Livina yang dikeluarkan mulai Disember 2007 hingga Jun 2010 dan 9,300 unit Nissan Latio dan Latio Sport yang dikeluarkan mulai Mei 2007 hingga Jun 2010 di Malaysia.

Sementara itu, bagi mengelak sebarang kesulitan, syarikat menasihati semua pemilik kereta Nissan yang terjejas supaya sentiasa memastikan paras bahan api mereka pada separuh tangki atau lebih sehingga penggantian komponen.

"Kami memulakan kempen servis ini bagi meliputi semua kenderaan yang dikeluarkan semasa tempoh yang dinyatakan walaupun tidak semua kenderaan mungkin terlibat.

Kerja-kerja dan penggantian komponen hanya akan mengambil masa kurang sejam dan secara percuma," kata Pengarah Eksekutifnya Datuk Dr Ang Bon Beng.

Pemilik kereta Nissan yang terlibat boleh menghubungi Pusat Servis Auto Tan Chong Express terdekat atau khidmat pelanggan di talian Toll FREE 1800-88-3838 untuk temu janji. Ia juga boleh dilakukan semasa servis penyenggaraan berjadual.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain