suria

Polis Jumpa Mayat Hanyut Di Bawah Jambatan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Polis Marin pada Jumaat, menemui mayat seorang lelaki terapung di bawah jambatan Pulau Pinang kira-kira 3.5 kilometer dari Seberang Perai di sini.

Komander Pasukan Gerakan Marin PDRM Wilayah Satu negeri Deputi Supritendan (DSP) Rosli Sufian berkata mayat lelaki yang dipercayai berketurunan India itu ditemui pada pukul 7.45 pagi dan identitinya masih belum dikenal pasti.

"Mayat itu telah dijumpai oleh bot ronda PAR 1 Pasukan Gerakan Marin Wilayah Satu yang diketuai oleh Korperal Jamari Dol dengan tiga anggota," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mayat itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Katanya polis juga menyiasat sama ada mayat tersebut mempunyai kaitan dengan satu laporan seorang lelaki terjun dari jambatan Pulau Pinang pada Selasa lepas.

Dalam kejadian itu, seorang peguam S. Thilagumaran, 25, dipercayai terjun ke laut di Km 3.5 jambatan itu kira-kira pukul 6 pagi.

Mangsa yang berkemeja hijau putih dan berseluar hitam pada ketika itu dipercayai ke lokasi kejadian menaiki kereta Toyota Vios dan meninggalkan semua barang peribadinya termasuk dompet dan telefon bimbit di dalam kereta tersebut.

Satu gerakan mencari dan menyelamat telah dilancarkan polis selepas menerima laporan kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain