suria

Pembalak Maut Dihempap Balak Bergolek

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut apabila balak yang ditebangnya tumbang dan bergolek sebelum menghempap badannya di kawasan hutan Gunung Ayam, dekat Pos Blau di sini Khamis.

Md Noor Harun, 52, dari Kampung Pasir Tumbuh, Bertam mati di tempat kejadian akibat cedera parah di pinggang dan punggung.

Ketua Polis Daerah Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, Md Noor dan rakannya sedang menebang sebatang pokok di kawasan berbukit dan pokok itu jatuh lalu bergolek ke arah mangsa.

Beberapa rakannya mengambil masa lama untuk mengeluarkan Md Noor yang tersepit di bawah batang balak itu, katanya.

Mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya awal pagi ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Tumbuh. - BERNAMA

Artikel Lain