suria

Pegawai Pelajaran Diminta Guna Budi Bicara Kendali Isu Murid Tanpa Sijil Kelahiran

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) hari ini menggesa pegawai Pejabat Pelajaran Daerah dan guru besar menggunakan budi bicara apabila mengendalikan kes kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil kelahiran walaupun ibu bapanya rakyat Malaysia.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata sewajarnya kanak-kanak itu dibenarkan bersekolah terlebih dahulu dan isu sijil kelahiran tersebut diselesaikan kemudian.

Bercakap kepada Bernama di sini, Lok berkata KPPK berpendirian kanak-kanak tidak wajar dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan hanya kerana isu teknikal seperti sijil kelahiran.

Beliau mengulas mengenai kes sembilan kanak-kanak dihalang daripada menghadiri Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Linsum di Seremban, Negeri Sembilan sejak Februari lepas kerana tiada sijil kelahiran walaupun ibu bapa mereka rakyat negara ini.

Dilaporkan sekolah itu berbuat demikian apabila dimaklumkan Pejabat Pelajaran negeri bahawa guru besar yang membenarkan kanak-kanak tanpa sijil kelahiran belajar di sekolah mereka akan didenda RM1,000 bagi setiap murid.

Bagaimanapun murid terbabit dibenarkan kembali ke sekolah selepas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan perunding Jawatankuasa Kabinet mengenai Komuniti India di Jabatan Perdana Menteri Datuk N. Siva Subramaniam campur tangan.

Lok berkata Kementerian Pelajaran wajar mengeluarkan pekeliling yang menasihatkan pegawai pelajaran dan guru besar agar mengutamakan pendidikan daripada berbalah mengenai isu teknikal.

"Jika kita boleh menyediakan peluang pendidikan untuk kanak-kanak warga asing, mengapa kita hendak nafikan hak anak-anak Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain