suria

Najib Umum Peruntukan Jalan Raya Ke Kapit Di Ulu Rajang

KAPIT: Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan tinjauan mesra ke pelosok pedalaman Sarawak, Jumaat ke Pekan Song dan Kapit di Ulu Rajang, sungai terpanjang di Malaysia.

Sebaik tiba dengan helikopter di padang daerah Song pada pukul 9.30 pagi, Perdana Menteri terus menuju ke tengah pekan Song dengan 5,000 penduduk kebanyakannya masyarakat Iban melaungkan "1Malaysia" dan "Hidup Barisan Nasional".

Najib yang menjadi Perdana Menteri pertama tiba di pekan kecil itu, diberi sambutan persembahan kebudayaan tradisional pelbagai kaum oleh pelajar dari sekolah menengah di pekan itu.

Dalam ucapannya, Najib mengumumkan peruntukan RM90 juta untuk pembinaan jalan dari Kanowit ke Song dan ke Kapit, yang ketika ini hanya dihubungi dengan menggunakan sungai sejauh kira-kira 40km.

Katanya tender bagi projek itu akan dipanggil tidak lama lagi untuk membolehkan kerja pembinaan dimulakan.

Pengumuman Perdana Menteri itu mencerahkan harapan penduduk di pedalaman Rajang untuk menikmati kemudahan jalan raya Sibu-Kanowit-Song-Kapit yang ketika ini hanya menggunakan bot ekspres Sungai Rajang.

Perjalanan bot ekspres dari Sibu ke Song mengambil masa lebih satu jam melalui pekan Kanowit manakala perjalanan dari Song ke Kapit mengambil masa tiga jam.

Najib juga membidas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat janji kepada penduduk pedalaman sekarang tetapi tidak membantu mereka semasa beliau (Anwar) menjadi Menteri Kewangan suatu ketika dahulu.

Katanya pembangkang hanya datang semasa pilihan raya, sebaliknya Barisan Nasional (BN) akan terus membawa pembangunan selepas pilihan raya.

Perdana Menteri berkata kini semua orang termasuk di penduduk Sarawak tahu kisah Anwar.

"Semua orang dah tahu. Sebut jam tangan Omega sahaja orang Song pun tahu. Tahu tak cerita jam Omega?" tanya Najib, disambut orang ramai yang menjawab "Tahu".

Semasa berjalan sekitar pekan itu kemudian untuk bersalaman dengan orang ramai, Najib sempat meluangkan masa menurunkan autograf di bahagian belakang baju T yang dipakai seorang juruteknik, Amran Mahmud, 29.

Menurut Amran, beliau memang menantikan kedatangan Perdana Menteri sejak semalam untuk mendapatkan autograf.

"Peristiwa ini tak akan dilupai. Saya akan simpan baju ini," kata Amran.

Selepas tinjauan mesra itu, Najib menaiki helikopter untuk meneruskan perjalanan ke Kapit. Semalam Perdana Menteri menjelajah hingga ke kawasan tanah tinggi Bario untuk bertemui masyarakat Kelabit di bahagian timur-laut Sarawak. - BERNAMA

Artikel Lain