suria

Lelaki Dipenjara Tiga Tahun Jerut Leher Pemilik Kedai Internet

SHAH ALAM: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menjerut leher seorang pemilik kedai Internet menggunakan tali nylon dua tahun lepas.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan tertuduh, Alias Md Sharif, 47, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Alias didakwa telah menjerut leher Seow Woon Leong, 48, menggunakan tali nylon yang boleh menyebabkan kematian di kedai Internet di Kampung Baru, Kalumpang, Hulu Selangor dekat sini, pada 12.50 pagi 25 Jun 2009.

Slamat semasa menjatuhkan hukuman berkata, setelah meneliti keterangan, tertuduh tidak menafikan bahawa dia pergi ke kedai itu tetapi menafikan bahawa dia telah menjerut mangsa.

Katanya mahkamah mendapati keterangan itu boleh dipertikaikan berikutan kegagalan pembelaan untuk memanggil beberapa saksi, dan mahkamah mendapati pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata.

Slamat memerintahkan Alias, yang tidak bekerja tetap, menjalani hukuman berkuatkuasa dari 15 Disember tahun lepas.

Sebelum ini, tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian, dibebaskan dengan jaminan tetapi pada 15 Disember tahun lepas, penjaminnya menarik balik jaminan, Alias kemudian direman sehingga hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam M.Hafiz Zainol Abidin. -BERNAMA

Artikel Lain