suria

Kementerian Pengajian Tinggi, JobStreet Kerjasama Bantu Mahasiswa Cari Kerja

Ratusan graduan menunggu giliran untuk masuk ke pameran kerjaya anjuran Jobstreet.com di Pusat Konvensyen Mid Valley di sini, Jumaat. Foto THE STAR Oleh: RAJA FAISAL HISHAN.
Ratusan graduan menunggu giliran untuk masuk ke pameran kerjaya anjuran Jobstreet.com di Pusat Konvensyen Mid Valley di sini, Jumaat. Foto THE STAR Oleh: RAJA FAISAL HISHAN.
Ratusan graduan menunggu giliran untuk masuk ke pameran kerjaya anjuran Jobstreet.com di Pusat Konvensyen Mid Valley di sini, Jumaat. Foto THE STAR Oleh: RAJA FAISAL HISHAN.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama laman web pencarian pekerjaan terbesar di Malaysia, JobStreet pada Jumaat melancarkan '1Nation Career Portal 2011' yang menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan serta 1,00 peluang latihan industri dalam pelbagai bidang kepada graduan di negara ini.

Usahasama dengan Jobstreet itu, dilihat mampu membantu KPT mencapai sasaran, 75 peratus graduan memperoleh pekerjaan dalam bidang yang berkaitan tempoh enam bulan selepas tamat pengajian mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah tersebut dapat membantu graduan tempatan yang baru tamat pengajian mencari pekerjaan yang sesuai serta membangunkan negara pada masa hadapan.

"Ini seiring dengan Fasa Kedua Pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan pengurusan sumber manusia dalam usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang sentiasa dicari oleh majikan," katanya.

Teks ucapan Mohamed Khaled dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ab Rahim Md Noor pada masjlis perasmian Pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia 2011 di Pusat Konvensyen Mid Valley di sini, Jumaat.

Menurut Mohamed Khaled, pelancaran portal tersebut juga merupakan pelengkap yang dapat membantu KPT mengesan siswazah yang belum memperoleh sebarang pekerjaan serta graduan yang berkelulusan tinggi namun tidak diberikan pekerjaan yang sesuai.

"Pelaksanaan sistem seperti ini memberi peluang kepada KPT menyusun formula dan pelan perancangan strategik yang lebih bersesuaian serta kelulusan program baru dalam bidang pengajian," katanya.

Beliau turut melahirkan kenyakinan JobStreet akan dapat membantu siswazah mencari pekerjaan yang sesuai serta mencari tempat untuk mereka melakukan latihan industri dalam pelbagai bidang yang berkaitan.

"Saya dimaklumkan bahawa setiap hari JobStreet menawarkan, kira-kira 300 peluang pekerjaan kepada graduan baru daripada institusi pengajian tinggi awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti," katanya.

Katanya, usaha sedemikian merupakan batu loncatan yang mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 sepertimana yang digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi.

"Penganjuran acara seperti ini mampu mengembangkan pasaran kerjaya dan mencipta lebih banyak peluang kerjaya kepada graduan baru. Kerajaan yakin usaha seperti ini mampu menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi serta daya pemikiran keusahawanan.

"Ini bukan satu perkara baru kerana setiap tahun kerajaan memberi peruntukkan yang banyak untuk sektor pendidikan dan perkhidmatan dalam usaha melahirkan rakyat yang produktif serta mampu memberi sumbangan kepada negara serta menjadikan Malaysia sebuah negara maju," katanya.

Pameran yang bermula hari akan berlangsung selama tiga hari akan berkahir pada hujung minggu ini.

Selain Jobstreet.com pameran ini turut dianjurkan bersama oleh AIC Exhibitions Sdn Bhd.

Seramai 100,000 graduan muda dan profesional dijangka berkungjung ke pameran ini.

Pameran dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 malam di Pusat Pameran Mid Valley. Masuk adalah percuma.

Artikel Lain