suria

Jerut Leher Pemilik Kedai, Lelaki Dihukum Penjara Tiga Tahun

SHAH ALAM: Tindakan seorang lelaki menjerut leher seorang pemilik kedai membawa padah apabila dia dihukum penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Slamat Yahya memerintahkan supaya hukuman terhadap Alias Md Sharif, 47, bermula daripada tarikh 15 Disember 2010 memandangkan dia direman pada tarikh tersebut selepas melanggar jaminan yang diberikan oleh mahkamah.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas Slamat mendapati Alias bersalah seperti pertuduhan melakukan perbuatan itu terhadap Seow Woon Leong, 49, pada pukul 12.05 tengah malam, 25 Jun 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dengan menggunakan tali nylon bewarna hijau di hadapan kedai internet nombor 4, Kampung Baru, Kalumpang, Hulu Selangor, dekat sini.

Pada penghakimannya, Slamat berkata, pembelaan tertuduh yang mempunyai 10 orang anak itu hanya bersifat penafian semata-mata dan boleh dipertikaikan.

Perbicaraan melibatkan sembilan saksi pendakwaan manakala tertuduh tidak memanggil saksi lain untuk menyokong pembelaannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim manakala peguam M Hafiz Zainol Abidin mewakili tertuduh.

Artikel Lain