suria

Remaja Seawal Usia 10 Tahun Sudah Mula Hidu Gam

PUTRAJAYA: Pengambilan dadah di kalangan remaja di negara ini membimbangkan dengan remaja seawal usia 14 hingga 16 tahun adalah yang termuda mendapatkan rawatan di Klinik Klinik Cure & Care (C&C) 1Malaysia kendalian Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen).

Ketua Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan, (AADK) Datuk Zuraidah Mohamed berkata, pengaruh rakan sebaya dan perasaan ingin mencuba adalah antara faktor yang menyebabkan mereka terjerumus dengan najis dadah pada usia yang agak muda.

"Ia menakutkan gejala itu kian berlaku di usia muda lagi. Di Sarawak misalnya ada yang hidu gam seawal usia 10 tahun. Jadi dengan adanya klinik ini, yang juga mempunyai psykiatris, kita mmapu memberikannya rawatan termasuk kes-kes penggunaan dadah synthetic, isu hidu dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 492 pegawai dan kakitangan AADK yang dirasmikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop, di sini hari ini.

Menurutnya, remaja yang terlibat akan cuba dipulihkan sebelum dihantar semula ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran.

Zuraidah berkata, sehingga kini sebanyak 3,817 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan di tujuh klinik C&C iaitu di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Kota Bharu (Kelantan), Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Tampoi (Johor), Kuching (Sarawak), Tampin (Negeri Sembilan) dan Papar (Sabah) dan 80 peratus daripadanya berumur antara 15 dan 40 tahun.

Sejak ditubuhkan pada Julai tahun lepas, dianggarkan lebih daripada 50 peratus yang mendapatkan rawatan di klinik C&C pulih sepenuhnya, kata beliau.

Pusat itu yang dimulakan di Sungai Besi berkonsepkan pusat pemulihan penagihan narkotik secara terbuka dan berfungsi sebagai hab untuk rawatan dan juga pusat rujukan bagi memenuhi keperluan penagih.

Sementara itu Abu Seman dalam ucapannya berkata usaha membanteras dadah akan membuahkan hasil sekiranya mendapat komitmen daripada pelbagai pihak terutamanya AADK.

"Saya percaya usaha membanteras dadah akan membuahkan hasil positif dan akan mencapai impak terbaik terhadap petunjuk prestasi utama kementerian kita dalam usaha mengurangkan jenayah indeks yang disasarkan sebanyak lima peratus untuk tiga tahun berturut-turut," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain